Monday, December 6, 2010

Gandingan Awie, Sazzy di tangan Lis




TERINGIN betul rasanya untuk melihat buah tangan pertama Melissa Saila yang berbentuk filem. Lantas ketika niat itu diajukan, penulis diajak menjenguk ke set penggambaran filem perdana arahan Melissa yang berjudul Dari Kerana Mata.
Lancar dan tenang pada hari kedua terakhir penggambaran, Awie dan Sazzy Falak yang merupakan nadi filem tersebut berkongsi pengalaman bekerja di bawah seorang pengarah yang dahulunya merupakan seorang pelakon terkenal.
Melissa atau mesra dipanggil Lis masih melihat sebuah karya daripada mata pelakon dan perincian itu disalurkan dalam pengarahannya. Dari Kerana Mata ialah sebuah filem daripada kacamata Melissa.
Filem pertama Awie di bawah wanita
Kita cukup sinonim dengan ungkapan bahawa di sebalik kejayaan seorang lelaki berdiri seorang wanita di belakangnya. Dalam kes Awie dan Dari Kerana Mata, wanita yang berada di posisi tersebut ialah sutradaranya, Melissa.
Lakaran sejarah perfileman Awie mencatatkan bahawa nama Melissa terpahat sebagai sutradara wanita pertama yang berjaya mengarah Awie dalam layar lebar.
"Ini pengalaman perdana saya di bawah arahan seorang wanita. Kalau ditanya perihal perbezaan, saya lebih melihat Lis sebagai seorang sutradara yang juga pelakon. Dia lebih terperinci atas dasar dia juga pernah berlakon.
"Jadi, dia tahu aspek mana yang perlu ditekankan. Lis juga sangat banyak membantu diri saya untuk menjayakan watak Ramzi," ujar Awie yang membawa karakter seorang jurugambar yang kemudian terbabit dalam sebuah insiden yang menukar garis hidupnya.
Awie teruja kerana berkesempatan berada dalam satu layar dengan nama-nama legenda yang satu hari dahulu ditontonnya baik di kaca TV mahupun di pawagam. Awie menahan getar dan keterujaan berlakon di samping wanita-wanita cekal dan popular tahun 50-an, 60-an dan 70-an.
"Saya berlakon di samping Hashimah Yon, Neng Yatimah, Ruminah Sidek dan Norlia Ghani. Wajah-wajah itu sebelum ini hanya saya tonton tetapi kini kami berkongsi layar adegan yang sama.
"Mereka adalah idola ketika saya masih kecil. Saya anggap ini adalah satu bonus,"ujar Awie yang menjadi tunggak utama filem Dari Kerana Mata arahan sulung Lis.


AWIE bakal terbabit dengan tiga buah konsert sepanjang bulan Disember nanti.


Menurutnya, dia turut memasukkan dialog-dialog Tan Sri P. Ramlee sebagai suatu tribute dirinya terhadap seniman agung tersebut.
Sedar atau tidak, jika dibelek perjalanan lakonannya, Awie tidak terlalu selektif dalam watak yang dipilih dan dia mempunyai alasan tersendiri.
"Saya mahu menvariasikan watak sehinggalah saya puas. Setelah membawakan kepelbagaian watak, saya akan fokus kepada satu perkara yang saya gemari.
"Sekarang adalah masa untuk mencuba dan mencari ilmu sebanyak mungkin. Dalam mencuba pelbagai cabang seni, jujurnya ia juga adalah untuk pendapatan saya,"ungkapnya yang turut mengambil berat jalan cerita dalam pemilihan kerjanya.
Bakal muncul dengan filem Hantu Kak Limah Balik Rumah dan Baik Gila, dalam masa yang sama Awie sedang merangka dua buah filem yang bakal berada di bawah payung arahannya.
"Untuk projek pertama, saya mahu membikin sebuah filem grup Wings dengan setiap ahli memegang karakter dan pekerjaan yang berlainan. Saya ialah seorang pengimpal besi, Joe seorang tukang masak, Black pula seorang mekanik dan Eddie merupakan penghantar gas. Ini yang akan saya lakukan dahulu bagi projek filem.

PERTAMA kali bergandingan, kolaborasi Awie dan Sazzy menjanjikan suatu kelainan.



"Kemudian baru saya fokus kepada sebuah filem yang berunsurkan aksi. Ini yang saya katakan tadi tentang fokus saya kepada perkara yang saya gemari," ujar Awie yang masih berahsia tentang kandungan filem yang bakal dipeloporinya kelak.
Seiring karier lakonannya yang sibuk dan padat, Awie selaku vokalis kumpulan raksasa Wings juga sedang membuat persediaan bagi konsert Double Trouble yang bakal berlangsung pada 18 Disember di Pulau Pinang dan 25 Disember di Kuala Lumpur.
Selain itu, Awie Entertainment turut merancang untuk mengadakan konsert Red On Black di Singapura.
"Wings juga akan keluar dengan single dan baru menyusul dengan album buat peminat-peminat yang sudah lama menunggu,"ujarnya yang juga akan muncul bersama Wings di Stadium Kelana Jaya pada 11 Disember depan untuk Konsert Twisties Bingit.
Sazzy masih keliru
Berita angin sepoi-sepoi membisik di telinga bahawa Sazzy Falak, isteri kepada Nazril Idrus, sedang berbadan dua.
Pasangan secocok itu baru sahaja menyambut ulang tahun perkahwinan keempat mereka pada 8 November lalu.
Sengaja diusik-usik dan dia tersenyum membalas, rupa-rupanya dia juga belum pasti dengan kehadiran nyawa kecil di badannya.
"Jujurnya saya juga belum pasti. Saya tidak tahu bagaimana orang luar boleh tahu akan perkara tersebut," ujarnya seakan-akan tidak menafikan cerita yang sedang dibawa angin gosip.
Namun sepanjang pemerhatian di lokasi filem Dari Kerana Mata yang berlangsung di Pusat Kawalan Kusta, Sungai Buluh, wanita berusia 29 tahun itu tidak mengambil minuman berkafein dan selera makannya juga tampak semakin baik.
Tidak mahu berbicara lanjut tentang suatu hal yang belum pasti jawapannya, Sazzy yang petah berkata-kata melarutkan perbualan tentang penglibatannya dalam filem arahan Melissa.
"Saya membawakan watak Aida, salah seorang karakter dalam filem Dari Kerana Mata. Ini merupakan kali kedua saya bekerjasama dengan Lis selepas telefilem Pabila Larut Malam.


LIS memilih untuk merahsiakan terlebih dahulu sinopsis filem Dari Kerana Mata.


"Saya senang sekali bekerja dengan Lis dan saya turut menari dalam beberapa adegan filem ini," ujarnya yang sudah semakin jarang dilihat membawa karakter di kaca TV mahupun layar filem.
Kali terakhir dia muncul ialah melalui filem Jin Notti bersama Mawi dan Fara Fauzana pada tahun lepas.
"Saya kurangkan sedikit pembabitan dalam lakonan. Bukan kerana saya tidak mahu, cuma rezeki saya lebih kepada pengacaraan. Saya banyak dipanggil untuk mengendalikan acara.
"Saya juga sibuk menguruskan syarikat Sinclair-Falak dan kami akan muncul lagi dengan bengkel-bengkel yang akan memberi input dan info tentang lakonan dan bidang seni kepada mereka yang berminat," katanya yang turut terlibat dalam acara amal bersama rakan-rakan baiknya.
Sazzy sering menghulurkan makanan buat individu yang tidak mempunyai tempat tinggal.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...